Wednesday, 20 February 2013

Rahsia Ayat Kursi (1) – Tanyalah Ustaz 20.02.2013


Ustaz Roslan Mohamed

Bacaan ayat 255, surah Al-Baqarah:

Semoga kita berada dalam keredhaan Allah dalam setiap inci kehidupan kita. Semoga bertambah ilmu dan bertambah amal. Al-Quran merupakan nadi dan jantung kita, dan kita perlu cuba memahaminya. Dalam Al-Quran terkandung berbagai 1001 makna, rahsia dan hikmah.

Ayatul kursi mengandungi tarbih (peringatan) untuk menggambarkan tentang keesaan, kehebatan dan kemulianNya. Sekiranya kita semakin memahami Al-Quran, maknanya kita semakin dekat dengan Allah. Jika sebaliknya, maknanya kita mengabaikan makanan dan minuman untuk rohani kita dan menjadikan kita ‘lapar’ denagn peringatan Allah.

Ayat ini diturunkan sebagai panduan kepada Nabi SAW dan umatnya. Amalkan sentiasa untuk membaca ayat ini bersama maknanya, sehingga kita boleh menghafalnya. Ada satu kisah: Dalam satu riwayat dikatakan syaitan akan duduk di muka pintu rumah untuk menanam perasaan ragu-ragu antara suami dan isteri. Oleh sebab itu, dikatakan Nabi SAW tidak akan masuk rumah sehingga salamnya dijawab oleh isterinya. Kita pun patut mengamalkan yang sama kerana ianya satu sunnah. Beri salam kepada ahli keluarga sebelum masuk rumah, walaupun rumah ditinggalkan kosong. Kita boleh juga amalkan membaca ayat surah Baqarah, kerana ayat Kursi terkandung dalam surah ini, di dalam rumah untuk menghalang gangguan mahluk halus.

Ayat kursi mengandungi tanda-tanda yang boleh mendekatkan diri kepada Allah. Kita hari ini bimbang jika syaitan ganggu kita, tapi kita tak bimbang dengan murka Allah. Sepatutnya kita menjaga hubungan baik dengan Allah, maka dengan itu, syaitan pun takut untuk mengganggu kita. Syaitan akan mudah ganggu orang yang lemah hubungan dengan Allah.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Mohon ustaz berikan terjemahan ayatul Kursi?
J: Sila rujuk imej di atas untuk makna ayat. Dalam ayat ini, Allah menunjukkan keagungan, kehebatan dan keesaan-Nya. Ini juga menunjukkan yang kita sangat lemah dan sepatutnya menjadi motivasi untuk kita mentaati Allah. Ayat ini bukan sekadar ayat pendinding, tetapi ianya adalah ayat untuk kita mengambil iktibar, membetulkan akidah, membaiki iman dan memperbaiki kekurangan yang ada kita ada. Imam Ghazali mengatakan, “Barangsiapa memilih jalan hidup berasakan ilmu, maka dia akan berjaya”. Sebaliknya seseorang akan merana jika memilih jalan hidup berdosa. Ayat kursi ini jangan dibuat hiasan dinding sahaja, kita perlu memahami dan beramal dengan kandungannya. Semoga ianya menjadi pendinding sebenar dan membantu kita mendapat keredhaan Allah.

S: Mohon ustaz jelaskan kedudukan ayat Kursi berbanding ayat lain di dalam Al-Quran?
J: Dalam surah Al-Isra’, ayat 82, Allah berfirman yang bermaksud:

Al-Quran ini Allah turunkan sebagai penawar kepada hati dan juga sebagai rahmat yang memberi petunjuk perkara yang hak dan batil.

Hadis daripada Ubai bin Kaab, Nabi SAW bersabda“Inilah ayat yang dianggap sebesar-besar ayat di dalam Al-Quran.” Imam Ibnu Kathir pula mengatakan ayat ini ialah ayat yang paling lengkap dari segi maknanya, kerana meliputi perkara dari aspek ketuhanan, akidah, keimana, ketaqwaan, amal ibadat dan sebagainya.

Dalam satu kisah, ada seorang sahabat Nabi ingin berkahwin tapi tidak mempunyai wang. Lalu Nabi SAW menyuruhnya menjadikan surah Fatihah, surah Al-Ikhlas dan ayat Kursi sebagai mahar kahwinnya. Rasa-rasanya, orang kita bila nak buat macam itu? J

S: Apa keistimewaan ayat Kursi?
J: Ibnu Kathir dan ulama tafsir banyak membincangkan hal ini. Antaranya dalam ayat ini:
  • Allah membincangkan keesaannya dengan menyatakan segala yang dibumi adalah kepunyaan-Nya dan di bawah pentadbiran-Nya. Allah tidak memerlukan bantuan makhluk untuk mentabdir kerajaan-Nya. Jika kita sedar hakikat ini, kita sepatutnya berasa takut untuk berbuat maksiat kepada Allah.
  • Allah menyatakan kebesaran kekuasan-Nya yang meliputi dunia (yang kita nampak) dan akhirat nanti(yang kita belum nampak).
  • Allah menunjukkan kemanisan Al-Quran jika dibaca dengan memahami maknanya, dan menjadi jalan kita mendekatkan diri dengan Allah.


S: Apa kepentingan ayat Kursi dalam kehidupan kita?
J: Ayat Kursi merupakan neraca keimanan kita. Dalam ayat ini Allah menyatakan kebesaran dan kehebatan-Nya, maka kita perlu sedar yang kita lemah dan tidak mampu melawan Allah. Oleh itu, kita perlu taat perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Ada riwayat mengatakan yang ayat ini diturunkan dengan diiringi 40-80 ribu malaikat. Kenapa ramai malaikat? Menunjukkan yang ayat ini tinggi tarafnya. Setelah ayat Kursi diturunkan, Nabi SAW minta Zaid bin Thabit (penulis wahyu) menuliskannya untuk disebarkan kepada orang-orang di Madinah. Sebelum itu, Nabi tak pernah buat begitu. Oleh sebab itu, Imam Ghazali mengatakan alangkah bijaknya jika kita juga menyalin ayat itu, tetapi bukan di kertas sahaja, tetapi di hati dan mengamalkannya sentiasa

S: Apa yang dapat difahami di sebalik ayat:

Menurut Ibnu Kathir – dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa Allah Yang Paling Tinggi dan manusia adalah paling lembah. Oleh sebab itu, dalam surah Fatihah, kita baca, “Hanya Engkau yang kami sembah, dan hanya kepada-Mu kami minta pertolongan”. Oleh itu, pergantungan kita mesti sepenuhnya kepada Allah, bukannya meminta pada selain Allah. Ayat ini juga mempunyai kaitan rapat dengan surah Al-Ikhlas. Dalam surah itu, Allah nyatakan keesaanya, dan Allah tidak memerlukan apa-apa pun daripada kita. Kita buat amalan baik, semuanya untuk kebaikan kita, dan tidak memberi kesan apa-apa pada kerajaan Allah.

S: Bolehkah ayat Kursi digunakan sebagai pendinding gangguan makhluk halus?
J: Betul. Ada beberapa kisah dan riwayat yang berkaitan. Antaranya:
  • Abdul Rahman bin Auf membaca ayat Kursi di 4 penjuru rumahnya sebagai pendinding gangguan syaitan.
  • Abdullah bin Amar meriwayatkan bahawa Nabi SAW mengingatkan sahabat, “Barangsiapa membaca ayat Kursi, maka Allah akan buka pada dirinya kesempitan”. Namun, ingin saya ingatkan agar jangan baca ayat Kursi sahaja, tapi mengabaikan ibadat yang lain terumatanya yang wajib. Kita perlu beramal secara ‘global’, bukan separuh-separuh.
  • Dalam satu hadis diriwayatkan jika membaca ayat kursi sebelum tidur, Allah akan menghantar 2 malaikat untuk menjaganya sehingga pagi.
S: Adakah kebaikan membaca ayat Kursi tanpa memahami kandungannya?
J: Kita perlu membaca, memahami dan mengamalkan ayat Al-Quran. Oleh itu, kita mesti cuba memahami ayat Quran yang dibaca, dan barulah ianya akan masuk menusuk ke jantung kita. Sama juga jika kita baca akhbar Inggeris tapi tak faham, kita pun tak rasa seronok, tapi jika faham, berjam-jam kita boleh baca.